Thursday 19 April 2018

Kelebihan Meminta Maaf dan Memaafkan dalam Islam



Kelebihan Meminta Maaf dan Memaafkan Dalam Islam

Bukan senang untuk kita memaafkan orang apatah lagi untuk kita ucapkan perkataan maaf itu sendiri. Tetapi tahukah anda maaf dan memaafkan adalah sangat penting dalam kehidupan terutamanya kita umat Islam. Allah mengajarkan kita tentang maaf dan memaafkan dalam Islam.

Penting bagi kita untuk menjaga hati orang lain walaupun kita tidak akan dapat lari dari kesilapan. Jangan menunda untuk memohon maaf kerana hal-hal esok tidak akan dapat kita jangka. 

Cara yang terbaik adalah bercakap secara berdepan dan mengakui kesalahan kita. Kita hidup ini hanyalah seketika sahaja. Jadi, tiada gunanya untuk kita bergaduh. Ikhlaslah meminta maaf dan beri masa pada orang untuk memaafkan kita. 

Maafkan adalah sifat orang yang kuat. Sesekali ubahlah sudut pandangan kita, jika kita berada ditempat orang lain, kita juga mahu dimaafkan.

Sentiasalah bersikap positif untuk lebih tenang dalam menghadapi hidup. Memaafkan adalah sifat yang mulia dan dipandang tinggi oleh Allah SWT. Kelebihan orang yang memaafkan orang lain ini adalah mendapat kerahmat dan keampunan daripada Allah serta mendapat pembelaan daripadaNya. 

Siapa tahu dengan memaafkan seseorang akan membuka pintu rahmat yang lebih baik untuk kita dan orang sekeliling. Selain itu juga, sesuatu nikmat itu selalu datang melalui jalan yang tidak disangka.

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran: ayat 133-134)

Di dalam kehidupan seharian kita, kita mungkin terlupa yang kita sering melakukan dosa setiap kali kita melakukan dosa dan yang memaafkan kita dan mengampunkan kita adalah Allah SWT. Jadi fikirkan bagaimana kita boleh terfikir untuk tidak memaafkan manusia yang melakukan dosa kepada kita sedangankan Allah pun mengampunkan dosa kita.

Ketahuilah bahawa berdendam tidak akan dapat membawa kita kepada ketenangan hidup kerana jika kita berdendam dan tidak mahu memaafkan orang yang berbuat salah kepada kita, kita akan hidup dengan penuh rasa benci dan marah. Jika kita perhatikan, orang yang tidak ikhlas memaafkan ini dia akan merasa tidak puas hati dan masih ada rasa benci terhadap si pelaku salah itu.

Antara adab-adab tidur yang diamalkan oleh Rasullullah SAW ialah memaafkan semua orang sebelum tidur. Sebelum tidur cuba biasakan diri untuk meminta maaf kepada orang sekeliling dan memaafkan orang yang telah menyakiti kita. Mudah-mudahan ketenangan yang kita dapat.

Belajarlah untuk memaafkan supaya kita memperolehi ketenangan. Sesungguhnya pemaaf itu sifat orang yang beriman. Islam juga adalah agama kasih sayang. Jadi mohonlah maaf dan jika rasa ada kesilapan belajarlah memaafkan.

Semoga bermanfaat.

Text | Fasha Seth
Sumber: MuslimGo |

No comments:

Post a Comment